Wednesday, 20 August 2014

LAWATAN PENANDAARASAN KE PEJABAT JABATAN PENDAFTARAN PERTUBUHAN (ROS) MALAYSIA NEGERI TERENGGANU


Pada 17hb Ogos 2014, JPJ Negeri Terengganu di bawah anjuran Jawatankuasa Pemandu EKSA telah melaksanakan Lawatan Penandaarasan ke Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Malaysia Negeri Terengganu yang terletak di Wisma Peladang, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Lawatan tersebut telah diketuai oleh Tuan Pengarah Pengangkutan Jalan Negeri Terengganu selaku Penasihat kepada Jawatankuasa Pemandu EKSA JPJ Terengganu. Lawatan kami bermula seawal jam 10.00 pagi dan ketibaan kami disambut baik oleh kakitangan dari Pejabat ROS.

Mereka yang menyertai lawatan terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pemandu EKSA sendiri dan Ketua-Ketua Zon EKSA yang telah dilantik. Lawatan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada setiap Ahli Jawatankuasa Pemandu dan Ketua-Ketua Zon secara alami perlaksanaan EKSA itu sendiri. Lawatan ke ROS Negeri Terengganu, yang telah berjaya mendapat pensijilan EKSA daripada MAMPU dirasakan mampu memberi pendedahan yang baik kepada kakitangan JPJ Terengganu. Lawatan telah dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan mengenai ROS dan kemudian terus ke tajuk perlaksanaan amalan EKSA di ROS Negeri Terengganu. Taklimat telah disampaikan oleh En. Sariman Bin Awang.

Selesai sahaja taklimat dan sedikit upacara penyampaian cenderahati, kakitangan ROS Negeri Terengganu telah membawa kami melawat sekitar pejabat mereka. Sebarang persoalan daripada kami di pihak JPJ Negeri Terengganu dijelaskan dengan baik oleh kakitangan ROS Negeri Terengganu. Ini sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan tugas-tugas melaksanakan EKSA di tempat sendiri.

Selesai lawatan, kami telah dijemput untuk menikmati hidangan makan tengahari dan semasa sedang makan pun, proses penyampaian ilmu masih lagi berlangsung. Lawatan tamat sekitar jam 1.00 tengahari. Pihak JPJ Negeri Terengganu, terutamanya Jawatankuasa Pemandu EKSA JPJ Terengganu amat berterima kasih dengan layanan dan tunjuk ajar yang telah ditunjukkan oleh kakitangan ROS Negeri Terengganu.

Monday, 11 August 2014

PEMBAHAGIAN ZON EKSA JPJ TERENGGANU

Jika dibandingkan semasa perlaksanaan Amalan 5S dahulu dengan perlaksanaan EKSA sekarang, perbezaan yang paling nyata dapat dilihat ialah liputan perlaksanaannya. Jika dahulu, perlaksanaan Amalan 5S hanya melibatkan pejabat JPJ di Kuala Terengganu, dan dalam satu kawasan itu, ia dibahagikan kepada 5 Zon (Tun Abdullah, Tun Abd Razak, Tun Abdul Rahman, Tun Mahathir dan Tun Hussein). Namun kini, melalui perlaksanaan EKSA, ia telah diperluaskan ke seluruh pejabat JPJ dalam negeri Terengganu.
Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EKSA JPJ Terengganu Bil.02 pada 13hb Julai 2014, perbincangan telah dibuat mengenai pembahagian zon yang baru untuk EKSA. Pembahagian zon untuk EKSA JPJ Negeri Terengganu adalah seperti berikut:
  1. Zon 1 –           JPJ Kuala Terengganu
  • Kawasan Perdana
  • Kawasan Waja
  • Kawasan Wira
  • Kawasan Saga
  • Kawasan Inspira

  1. Zon 2 –           JPJ Kemaman
  2. Zon 3 –           JPJ Besut
  3. Zon 4 –           SP Bukit Besi
  4. Zon 5 –           SP Air Sejuk
  5. Zon 6 –           SP Kijal
Bersekali dengan pembahagian zon, ketua di setiap zon juga telah dilantik, manakala di Zon 1, selain daripada Ketua Zon, Ketua Kawasan juga turut dilantik untuk membantu kerana Zon 1 merangkumi kawasan yang sangat luas jika dibandingkan dengan zon-zon lain.

Wednesday, 25 June 2014

MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU EKSA PERTAMA

 

Pada 22hb Jun 2014, telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EKSA JPJ Terengganu yang pertama. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh En. Razali Bin Omar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu EKSA JPJ Terengganu sendiri. Mesyuarat telah dimulakan dengan ucapan tahniah oleh Pengerusi Jawatankuasa kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu yang telah terpilih untuk menerajui perlaksanaan EKSA di JPJ Terengganu.
Antara perkara yang menjadi tajuk perbincangan utama di dalam mesyuarat ialah berkenaan perancangan JPJ Terengganu untuk menuju ke arah pensijilan EKSA oleh MAMPU. Setiap Jawatankuasa dimaklumkan mengenai peranan masing-masing dalam memastikan EKSA berjaya dihayati dan dilaksanakan di seluruh pejabat JPJ Terengganu.

TRANSFORMASI 5S KE EKSA

EKSA merupakan Amalan 5S yang telah mengalami proses penjenamaan semula.
MAMPU mengambil inisiatif untuk menjadikan Amalan 5S satu amalan yang dapat dijadikan salah satu daripada budaya kerja di sektor awam. Pada tahun 2013, Amalan 5S telah berjaya 

diberi penjenamaan semula kepada EKSA dan pada tahun berikutnya, satu Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA) telah dikeluarkan berkaitan dengan EKSA.
Penjenamaan ini telah dilaksanakan atas beberapa tujuan. Yang penting ia adalah untuk memastikan sektor awam sentiasa kekal relevan dan mampu terus menambahbaik sistem perkhidmatan mereka kepada pelanggan.

Tuesday, 17 June 2014

DARIPADA 5S KE EKSA

 
Tarikh 15hb Jun 2014 merupakan tarikh di mana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu akhirnya melakar satu sejarah kerana pada tarikh berkenaan, JPJ mengambil langkah berani untuk menukar haluan daripada Amalan 5S kepada Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA). Seperti yang diketahui umum, pejabat JPJ Kuala Terengganu telah bermula dengan Amalan 5S sejak tahun 2009 lagi. Sepanjang tempoh itu, JPJ Kuala Terengganu telah berjaya mendapat anugerah pensijilan Amalan 5S oleh MPC sebanyak 2 kali. JPJ Kuala Terengganu juga merupakan pejabat JPJ yang kedua disijilkan selepas JPJ Sarawak. Langkah yang diambil ini bukannya mudah kerana ia melibatkan perubahan dan perubahan memerlukan komitmen yang sangat tinggi daripada setiap kakitangan JPJ Terengganu.

Namun, pimpinan tertinggi JPJ Negeri Terengganu melihat perubahan ini ialah satu keperluan. Satu keperluan untuk menjadikan JPJ Negeri Terengganu menjadi lebih baik daripada sekarang. Antara perubahan terbesar yang dapat dilihat nanti ialah dari segi penglibatan dengan Amalan EKSA ini sendiri. Semasa perlaksanaan Amalan 5S terdahulu, pejabat yang terlibat hanyalah pejabat JPJ Kuala Terengganu. Namun, untuk perlaksanaan EKSA, kesemua pejabat JPJ Negeri Terengganu akan terlibat dan ia merupakan satu cabaran yang harus digalas oleh Jawatankuasa Pemandu yang dilantik. Kesemua pejabat yang terlibat ialah Ibu Pejabat JPJ Kuala Terengganu, 2 pejabat cawangan di Kemaman dan Besut, dan 3 pejabat Stesen Penguatkuasa di Kijal, Bukit Besi dan Air Sejuk.

Amalan EKSA juga dilihat mampu membantu jabatan dalam mematuhi arahan-arahan dan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan kepada jabatan kerajaan. Kemungkinan besar EKSA membolehkan jabatan memperbetulkan prosedur-prosedur kerja yang selama ini diperturunkan secara amalan sehinggakan ia sebenarnya telah melanggar arahan-arahan yang sepatutnya dilaksanakan. Diharapkan semoga perlaksanaan amalan EKSA ini dapat menambahbaik perkhidmatan JPJ Terengganu terhadap pelanggan.

Semasa pelancaran ‘Kick Start’ Amalan EKSA ini diadakan, turut dilaksanakan ialah pelantikan Jawatankuasa Pemandu bagi mengetuai gerakan EKSA ini dan dibawa pejabat JPJ seluruh Negeri Terengganu.


Jawatankuasa Pemandu 


Penasihat
Tuan Abdul Rahman Emang Anyie (Pengarah)
Pengerusi
Razali bin Omar
Penyelaras I
Norziah binti Shahunit
Penyelaras II
Asma binti Othman@Abd Razak
Pelaksana
Ahmad Asri bin Abdullah
Latihan
Suzaila binti Zinol
Audit
Wan Norhayati binti W Mamat
Promosi
Syed Nur 'Adaf Zhafry bin Ismail